Terbuka Hong Kong: Pearly-Thinaah Terlepas Gelaran Juara
September 17, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan terpaksa akur terlepas gelaran sulungnya dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF pada musim ini. 

Ianya gara-gara Pearly-Thinaah tumpas di tangan Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Silva Ramadhanti dalam perlawanan akhir Terbuka Hong Kong, sebentar tadi.

Biarpun bermula cemerlang dengan meraih kemenangan pada set pertama menerusi skor 21-14, Pearly-Thinaah gagal mengekang kebangkitan Apriyani-Siti Fadia yang berjaya meraih kemenangan pada set kedua dengan skor 24-22.

Memasuki set ketiga, Apriyani-Siti Fadia menampilkan aksi yang lebih agresif.

Tatkala pasangan negara mahu mengejar pendahuluan oleh gandingan Indonesia terbabit, Pearly mengalami kecederaan di bahagian pergelangan kaki kanannya.

Setelah mendapat rawatan susulan, Pearly dapat meneruskan permainan dengan dalam keadaan menahan kesakitan sebelum akur tumpas set ketiga tersebut menerusi skor 9-21.

Untuk rekod, pertarungan akhir yang berlangsung di Coloseum Hong Kong, Kowloon ini berlangsung dalam masa 73 minit sebelum Arpiyani-Siti Fadia dapat ditabalkan sebagai juara bagi saingan bertaraf Super 500 ini.

Meskipun tumpas, Pearly-Thinaah tetap dapat membawa pulang wang ganjaran yang bernilai AS$15,960 atau bersamaan sekitar RM74,756.64.

Selain itu, Pearly-Thinaah turut meraih 7,800 mata untuk dimasukkan ke dalam pengiraan Ranking Dunia, Ranking Jelajah Dunia, Kelayakan Ke Olimpik dan lain-lain lagi.

Sebagai tambahan, ini merupakan kali kedua Pearly-Thinaah menjejaki pentas perlawanan akhir dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF selepas mara ke perlawanan akhir Malaysia Masters pada penghujung Mei lalu.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen