Sepak Takraw Guna Sistem 15 Mata Mulai 2 Feb 2024
September 18, 2023 Hafizuddin Omar

Semua kejohanan dan pertandingan sepak takraw akan menggunakan sistem kiraan 15 mata berbanding 21 mata berkuatkuasa 2 Februari 2024, arah Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

Badan induk antarabangsa bagi sukan berkenaan memutuskan dan meluluskan perubahan sistem kiraan sedemikian selepas mengadakan mesyuarat pada 15 Julai lalu di Korat, Thailand semasa Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai 2023.

ISTAF memaklumkan implementasi sistem kiraan baharu ini akan efektif enam bulan selepas tarikh kelulusan bagi memberi masa kepada para pemain dan pasukan untuk menyesuaikan diri dan menerima bagi mengekalkan tahap kompetitif di setiap kejohanan.

Pada masa yang sama, ini juga merupakan prosedur bagi sebarang perubahan besar yang perlu diikuti ISTAF berdasarkan Undang-Undang Permainan Sepak Takraw.

Sementara itu, ISTAF dalam surat edarannya memberikan alasan bahawa penukaran kepada sistem kiraan 15 mata ini akan menjimatkan masa bagi sebuah perlawanan. 

Sebagai perbandingan, perlawanan menggunakan sistem kiraan 21 mata seringkali melewati satu jam permainan bagi sebuah perlawanan.

Dengan penjimatan masa tersebut, penganjur dapat menjalankan lebih perlawanan dalam tempoh setengah hari mahupun sehari – khususnya dalam kejohanan atau pertandingan berpasukan (team events).

Sebagai tambahan, ISTAF melihat penonton akan lebih terhibur dengan berlangsungnya lebih perlawanan serta lebih penyertaan daripada pasukan-pasukan atau negara-negara dalam tempoh sehari perlawanan sekaligus akan meningkatkan lagi jumlah tontonan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Persatuan Sepaktakraw Malaysia (@persatuan_sepaktakraw_malaysia)

Komen