Ganjaran wang tunai bernilai RM60,000 menjadi milik skuad Selangor FC Bawah 18 Tahun (B-18) selepas berjaya menjuarai saingan Piala Belia 2023.
Kejuaraan itu menjadi milik skuad muda Gergasi Merah apabila mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Johor Darul Ta’zim IV (JDT IV) dalam perlawanan akhir kedua di Stadium UiTM, Shah Alam, semalam.
Dalam perlawanan tersebut, Adam Haikal, Amirul Izwan dan Ariz Zuhayr muncul penjaring buat skuad Merah Kuning pada minit ke-58, minit ke-82 dan minit ke-89 masing-masing.
Manakala dua jaringan daripada JDT IV pula hadir menerusi Naim Zainuddin dan Danish Hakim pada minit ke-5 dan ke-85 masing-masing.
🥇𝗦𝗘𝗟𝗔𝗡𝗚𝗢𝗥 𝗕𝟭𝟴 𝗝𝗨𝗔𝗥𝗔 𝗣𝗜𝗔𝗟𝗔 𝗕𝗘𝗟𝗜𝗔 𝟮𝟬𝟮𝟯! 🏆
Syabas diucapkan kepada skuad muda Selangor FC B18 atas kejuaraan dua tahun berturut-turut. Teruskan perjuangan #GergasiMerah ku! ❤️💛#MKLK#KitaSelangor#PialaBelia2023 pic.twitter.com/gxhJ8UuWFA
— Selangor FC (@selangorfc) September 17, 2023
Keputusan itu menjadikan Selangor FC B-18 meraih kemenangan secara agregat 4-3 ke atas JDT IV selepas melakar keputusan seri 1-1 dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Kulai, Ahad lalu.
Untuk makluman semua, JDT IV selaku naib juara membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000.
Sementara itu, penyerang Selangor FC B-18, Izzat Syahir Zulihsan yang menjaringkan 16 gol sepanjang musim ini dinobatkan selaku Penjaring Terbanyak dan meraih ganjaran berupa wang tunai bernilai RM1,000.
Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua berturut-turut Selangor FC berjaya meraih kejuaraan Piala Belia.
Tahun lalu, Selangor FC turut dinobatkan juara bagi saingan ini selepas berjaya menundukkan Sri Pahang FC dengan agregat 2-1.
Featured Image: Football Association of Malaysia