Coach Ela Lepas Jawatan Selepas Perbincangan Hati Ke Hati Bersama Presiden FAM
September 18, 2023 Hafizuddin Omar

E. Elavarasan atau dikenali sebagai Coach Ela tidak lagi bergelar ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan (B-23) atau nama julukannya, Harimau Muda.

Ini selepas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Hj Rahman menerusi satu siaran media memaklumkan jurulatih berusia 61 tahun terbabit telah melepaskan jawatannya.

Susulan perletakan jawatannya, Coach Ela akan kembali kepada tugasan asalnya selaku penolong ketua jurulatih skuad senior kebangsaan iaitu Harimau Malaya.

Perletak jawatan ini hadir selepas Coach Ela dan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin membuat perbincangan dari hati ke hati. 

Hasil daripada perbincangan itu, satu kesepakatan dan persetujuan dicapai agar Coach Ela kembali fokus kepada tanggungjawabnya sebagai penolong kepada Kim Pan-gon bersama skuad senior.

Difahamkan, perbincangan itu diadakan sejurus Coach Ela menyelesaikan tugasnya membawa skuad Harimau Muda melepasi kelayakan Piala Asia B-23 di Chonburi, Thailand baru-baru ini.

Sebagai rekod, Coach Ela mula berperanan sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Muda bermula 1 September tahun lalu.

Sepanjang menggalas jawatan terbabit, selain mengesahkan tempat ke saingan Piala AFC B-23, Coach Ela turut berjaya mengemudi skuad Harimau Muda menjuarai saingan Piala Merlion di Singapura serta ke peringkat separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF di Rayong, Thailand pada Mac dan Ogos lalu.

Hanya di temasya Sukan SEA 2023 Kemboja sahaja Coach Ela gagal membimbing skuad Harimau Muda melepasi saingan peringkat Kumpulan B dengan menghuni tangga ketiga di belakang Thailand dan Vietnam. 

Sementara itu, pelepasan jawatan oleh Coach Ela ini sudah pasti membuka ruang untuk individu lain untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih skuad Harimau Muda khususnya untuk menghadapi saingan Piala AFC B-23 di Qatar pada April tahun hadapan.

Bagaimanapun, FAM memaklumkan pengganti Coach Ela akan diumumkan selepas beberapa penelitian dan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat serta kata putus yang akan dicapai nanti.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen