Berbaki lima hari sahaja lagi sebelum bermulanya perlumbaan peringkat pertama dari Kertih ke Kuala Terengganu, saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 menerima satu lagi suntikan penajaan besar menerusi agensi pelancongan negara iaitu Tourism Malaysia.
Penajaan terbaru itu diumumkan oleh penganjur, Majlis Sukan Negara (MSN) dalam sesi sidang media yang diadakan di Casa 4, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil tengah hari tadi.
Ketua Pengarah MSN, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail di dalam ucapannya turut mendedahkan pihak Tourism Malaysia tampil selaku penaja dengan tajaan wang tunai bernilai RM1 juta.
Bukan itu sahaja, Tourism Malaysia akan turut membawakan program-program promosi seperti persembahan tradisional di semua lokasi pelepasan, jemputan pempengaruh (influencer) terkenal dari Indonesia di beberapa lokasi perlumbaan dan pelbagai promosi dalam dan luar negara bagi memastikan LTdL dapat dianjurkan dengan lebih meriah dan sempurna.
Sebagai balasan, Tourism Malaysia diberikan penghormatan sebagai penaja kategori pendahulu Raja Bukit (King Of The Mountain). Pemenang bagi kategori ini di setiap peringkat akan menyarungkan jersi bercorak bintik polka (polka dot) merah putih yang tertera logo Tourism Malaysia.
Kategori Raja Bukit sememangnya amat unik dan popular dalam banyak perlumbaan besar seperti Tour de France, Giro d’Italia dan Vuelta a Espana di mana pendaki terbaik pelbagai pasukan bukan sahaja bersaing hebat di kawasan berbukit yang tinggi, malah cuba membuat strategi untuk meloloskan diri bagi mengutip dan mengumpul mata bagi kategori itu.
Untuk perlumbaan LTdL pula, bagi mengungguli jersi polka dot tajaan Tourism Malaysia, pelumba perlu mengutip mata secukupnya sebelum menghadapi cabaran terbesar di Genting Highlands (Peringkat 5).
Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Dr. Ammar Abd Ghapar berkata LTdL bukanlah sesuatu yang baru bagi Tourism Malaysia kerana agensi berkenaan sudahpun bersama sejak awal penganjuran pada tahun 1996 lagi.
“Keputusan penajaan kami ini adalah berdasarkan kepada keseluruhan pakej pulangan penajaan yang cukup lengkap, khasnya peluang untuk memperomosikan jenama ‘Malaysia Truly Asia’ ke seluruh dunia, bukan saja terhad kepada tarikan pelbagai budaya, lokasi dan pusat pelancongan tetapi juga menampilkan Malaysia yang makmur, maju dan progresif bagi membantu Kerajaan menarik minat pelaburan dan perdagangan antarabangsa ke negara kita,” jelasnya.