Azizulhasni Awang The Pocket Rocketman Alami ‘Skin Loss’
September 18, 2023 Hafizuddin Omar

Kemalangan yang dialami oleh jaguh basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang atau nama gelarannya, The Pocket Rocketman semasa sesi latihan di Velodrom Nasional, Nilai pada Jumaat lalu adalah tidak serius.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill melahirkan rasa syukur atas perkembangan itu sambil berkongsikan pelumba berusia 35 tahun terbabit hanya mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan daripada Institut Sukan Negara (ISN).

“Syukur tuhan, beliau tidak mengalami kecederaan yang sangat seriuslah, tiada keretakan dan sebagainya,” 

“Saya telah pun bercakap dengan jurulatih, John Beasley dan beliau telah mengesahkan bahawa Datuk’ Azizulhasni mengalami ‘skin loss’ dekat kaki dan tangannya tetapi beliau telah terima rawatan daripada pihak ISN untuk beberapa hari,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman Tourism Malaysia sebagai sebuah lagi penaja utama buat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, tengah hari tadi.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Azizul | Awang (@azizulhasniawang)

Selain tidak mengalami kecederaan yang serius, Amarjit turut berkongsikan bahawa Azizul atau juga mesra dengan panggilan Jijoe telah kembali ke Velodrom Nasional untuk menyambung latihannya sebagai persiapan menjelang temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

“Saya juga telah diberitahu bahawa semalam beliau telah kembali ke velodrom untuk melakukan (latihan) pemanas badan, jadi, ia satu petanda yang baik kerana Sukan Asia pun akan bermula tidak lama lagi,”

“Jadi, apabila kita terima berita ini, saya pun berasa sedikit bimbang terhadap situasinya, tetapi selepas bercakap dengan jurulatih dan sebagainya, saya pun (berasa) lega (kerana) kecederaannya tidak serius dan dia perlahan-perlahan kembali (berlatih) di velodrom untuk memanaskan badan dan berlatih,” ujarnya lagi.

Difahamkan, kemalangan yang menimpa Azizul itu berpunca daripada daripada kegagalan mekanikal tayar basikal yang dinaikinya pada sesi latihan tersebut.

Pada Sabtu lalu, Azizul membuatkan peminat dan rakyat Malaysia sedikit keresahan apabila memuat naik video berdurasi 36 saat yang memaparkan dirinya mengalami kemalangan di pelbagai platform media sosialnya. Klip video itu memaparkan Azizul mengalami kemalangan pada selekoh pertama velodrom ketika cuba mengejar motosikal sebelum tersadai di atas lantai.

Featured Image: Azizulhasni Awang Facebook

Komen