Skuad bola sepak wanita kebangsaan hanya berhasil memungut satu mata daripada perlawanan pertama pada Kejohanan Women’s International Friendly edisi kedua yang sedang berlangsung di Taif, Arab Saudi.
Dalam perlawanan tersebut, skuad berjulukan Malayan Tigress mengutip mata berkenaan selepas terpaksa akur diikat tanpa jaringan oleh pasukan yang menghuni ranking ke-172 dunia merangkap skuad tuan rumah.
Ketua jurulatih skuad wanita kebangsaan, Soleen Al-Zoubi seakan-akan kecewa dengan keputusan terbabit namun menghargai usaha dan persembahan yang ditampilkan anak-anak buahnya dalam perlawanan itu.
“Sejujurnya, ini bukanlah keputusan yang kami harapkan atau layak buat kami, tetapi saya tidak boleh berkata apa-apa lagi,”
“Sejujurnya, para pemain telah lakukan segala-galanya, mereka bermain dengan baik, mereka mencuba sebaik mungkin, kami cuma tidak bernasib baik daripada segi penyudah dimana ianya boleh diterima, inilah bola sepak,”
“Perkara ini boleh ditingkatkan, sekarang kita akan beri tumpuan kepada memperbaiki perkara-perkara yang perlu dibaiki,” katanya selepas perlawanan.
Soleen berharap anak-anak buahnya yang berada di ranking ke-89 dapat menampilkan persembahan yang lebih baik pada perlawanan seterusnya dalam saingan Kumpulan A bertemu Pakistan – pasukan yang menghuni ranking ke-157 dunia.
Untuk makluman, pertembungan antara Malayan Tigress dan Pakistan tersebut dijadualkan pada 21 September (Khamis) kelak.
Untuk rekod, pada saat ini, Arab Saudi dan Malayan Tigress yang mengutip satu mata menghuni kedudukan pertama dan kedua masing-masing dalam Kumpulan A.
Featured Image: Football Association of Malaysia