Penyediaan tapak bagi venue yang akan digunakan untuk melangsungkan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan 2028 iaitu Kompleks Sukan Bukit Merbau kini telah mencapai tahap 20%.
Perkembangan ini dikongsikan sendiri oleh Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, YB Zamakhshari Muhamad ketika meninjau tapak projek yang bertempat di Pasir Puteh, semalam.
Zamakhshari yang turut dikenali sebagai Abe Zam turun meninjau tapak tersebut bersama-sama Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YBhg. Ts. Dr. Nagulendran serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi merangkap bekas Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, YB Wan Roslan Wan Hamat.
“Berdasarkan pembentangan oleh YABrs. Ir. Mohd Suhali Ismail (Pengarah JKR Negeri Kelantan), progres terkini kemajuan kerja-kerja penyediaan tapak Kompleks Stadium Bukit Merbau adalah sebanyak 20%.” katanya seperti dipetik daripada Facebook peribadinya.
Berdasarkan perkongsiannya itu, sebahagian tapak yang ingin dijadikan kompleks sukan terbabit telah diratakan. Tambahnya lagi, jarak lokasi untuk masuk ke tapak kompleks tersebut dari jalan utama adalah kira-kira 2.8 kilometer (km).
Zamakhshari memaklumkan kerja-kerja ini dijangka siap pada Oktober tahun hadapan.
Menurutnya, kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan sebanyak RM62 juta untuk penyediaan tapak. Manakala RM53 juta pula diperuntukkan bagi pembangunan infrastruktur.
“Rakyat Kelantan sudah pasti menaruh harapan yang tinggi terhadap Kompleks Sukan Bukit Merbau ini kerana ianya tentu akan dapat memacu prestasi sukan di Kelantan ke arah yang lebih baik,” ujarnya lagi.
Pada tahun lalu, Wan Roslan memaklumkan Kompleks Sukan Bukit Merbau ini akan terdiri daripada enam komponen kemudahan yang utama seperti Stadium Bukit Merbau, Arena Tertutup, Stadium Hoki, Pusat Skuasy, Gelanggang Boling Padang dan Lapang Sasar Menembak.