Kejayaan melakar kemaraan ke pentas separuh akhir Terbuka Hong Kong pada minggu lalu membolehkan perseorangan lelaki No.2 negara, Ng Tze Yong menghuni ranking tertinggi dalam kariernya setakat ini.
Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menyaksikan Tze Yong yang berusia 23 tahun ini diletakkan pada tangga ke-19 dalam Ranking Dunia setelah mengumpul 51,280 mata secara keseluruhan.
Untuk makluman, kedudukan itu merupakan peningkatan sebanyak satu anak tangga berbanding yang dihuninya pada minggu lalu.
Sementara itu, jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia pula kekal di tangga ke-16 dalam Ranking Dunia selepas kemaskini dilakukan oleh BWF.
Biarpun tumbang pada Pusingan 16 di Terbuka Hong Kong pada minggu lalu, ianya tidak menjejaskan kedudukan Zii Jia yang kini memiliki 57,176 mata secara keseluruhan.
Akhir sekali, seorang lagi perseorangan lelaki negara iaitu Leong Jun Hao yang bermula daripada peringkat kelayakan dan mara ke Pusingan 16 di kejohanan yang sama turut meraih peningkatan positif.
Pemain berusia 24 tahun ini mencatatkan kenaikan sebanyak dua anak tangga dan kini berada di ranking ke-40 dunia hasil mengumpul sebanyak 31,808 mata.
Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023