Kehadiran beregu wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan ke pentas akhir Terbuka Hong Kong pada Ahad lalu sudah memadai untuk mencetuskan peningkatan kedudukan mereka dalam Ranking Dunia.
Kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menyaksikan pungutan 7,800 mata hasil bergelar naib juara di kejohanan terbabit membolehkan mereka mengumpul 71,781 mata secara keseluruhan.
Pungutan mata itu sekaligus membolehkan pemain berusia 23 dan 25 tahun masing-masing ini menghuni ranking kesembilan dunia bagi minggu ke-38 tahun 2023 – meningkat satu anak tangga berbanding minggu lalu.
Sementara itu, Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien yang merupakan beregu wanita No.2 tanah air pada ketika ini kekal di tangga ke-33 dalam Ranking Dunia dengan mengumpul sebanyak 36,550 mata.
Paling menarik perhatian, gandingan Teoh Mei Xing bersama Anna Cheong yang kembali beraksi semula sejak Kejohanan Dunia BWF sekitar penghujung Ogos lalu susulan berehat panjang ekoran kecederaan merekodkan langkauan sebanyak 20 anak tangga yang meletakkan mereka di tangga ke-107 dunia.
Gandingan ini memiliki 11,600 mata hasil daripada menjejaki peringkat Pusingan 16 secara konsisten di Kejohanan Dunia BWF, Terbuka China dan Terbuka Hong Kong.
Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023