Skuad Malaysia Perkenalkan 6 Pelumba Hadapi LTdL 2023
September 20, 2023 Hafizuddin Omar

Berbaki empat hari sebelum bermulanya perlumbaan jalan raya, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, skuad kebangsaan Malaysia tampil memperkenalkan enam pelumbanya, semalam.

Dalam majlis pengenalan yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN), enam pelumba yang terpilih ialah Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil, Muhsin Al Redha Misbah, Muhammad Nur Aiman Rosli, Zulhelmi Zainal, Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri dan Muhammad Zawawi Azman.

Mengulas dengan lebih terperinci, Izzat, 28 tahun merupakan bekas pelumba Sapura Cycling Team yang menyerlah dalam acara ujian masa menjadi satu-satunya pelumba yang masih kekal selepas menyarung jersi negara pada LTdL edisi 2020 dan 2022.

Izzat disertai oleh empat rakannya yang pernah mewakili Sapura iaitu Muhsin, 26 tahun, yang turut berkebolehan dalam acara ujian masa selain Aiman Rosli, 24 tahun, yang pernah muncul juara kebangsaan acara ITT sebanyak empat kali.

Seorang lagi bekas pelumba Sapura ialah Zawawi Azman, 29 tahun serta pernah menyarung jersi NSC Mycron menjadi pelumba paling berpengalaman di dalam skuad ini.

Pelumba terakhir yang merupakan bekas pelumba Sapura yang disenaraikan untuk menyertai skuad kebangsaan ialah Shaiful Adlan, 25 tahun, merupakan pelumba serba boleh (all rounder).

Manakala Zulhemi yang berusia 23 tahun pula muncul sebagai pelumba termuda dalam skuad kebangsaan pada kali ini.

Untuk makluman, dalam majlis yang sama, pegawai daripada MSN, Ahmad Ikram Zakaria diangkat sebagai Pengurus Pasukan sambil Mohd Yusuf Abdul Nasir berperanan sebagai Ketua Jurulatih. 

Sementara itu, Amir Mustafa Ali dan Shahrul Azman Abdullah pula memegang tugasan selaku penolong jurulatih dan mekanik pasukan masing-masing.

Untuk pengetahuan semua, perlumbaan Peringkat 1 LTdL edisi ke-27 dari Kerteh ke Kuala Terengganu ini akan bermula pada 23 September.

Secara keseluruhan, mereka akan menyusuri 11 daripada 12 negeri di semenanjung Malaysia yang membabitkan perlumbaan sejauh 1,278.1 kilometer (km) dimana perkarangan Menara Berkembar Petronas (KLCC) menjadi perhentian terakhir pada 30 September nanti.

Komen