PPUM Dipilih Sebagai Pusat Rujukan Kecederaan Bagi Skuad Harimau Malaya
September 20, 2023 Hafizuddin Omar

Hospital pengajar universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) atau secara khususnya Jabatan Perubatan Kesukanan PPUM kini menjadi tempat rujukan kecederaan bagi skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya.

Perkembangan ini hadir selepas PPUM dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) yang dimaklumkan bertempoh selama lima tahun, pada hari ini.

Dokumen MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah PPUM, Profesor Dr. Nazirah Hasnan dan Penolong Setiausaha Agung FAM, Rosman Mohd Ibrahim yang mewakili PPUM dan FAM masing-masing sambil disaksikan oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram.

Memorandum ini bertujuan untuk mengukuhkan jalinan kerjasama kedua-dua agensi di mana PPUM melalui Jabatan Perubatan Kesukanan ingin memperkenalkan perkhidmatan yang disediakan kepada individu, persatuan dan komuniti bola sepak yang terdapat di Malaysia.

Selain skuad Harimau Malaya, Jabatan Perubatan Kesukanan PPUM turut menjadi pusat rujukan kecederaan untuk skuad-skuad kebangan bawah umur serta kalangan pemain bola sepak lain. 

Disamping itu, antara usahasama yang sedang berlangsung pada ketika ini adalah siri penyelidikan berkaitan pencegahan kecederaan ke atas pemain bola sepak negara yang telah dimulakan sejak tahun 2022 lagi dan dijangka berakhir pada tahun 2025.

Untuk pengetahuan semua, Jabatan Perubatan Kesukanan PPUM berpengalaman luas dalam memberikan perawatan kepada ahli sukan khususnya pemain bola sepak merangkumi semua peringkat umur samada mereka yang terdiri daripada kategori pemain amatur sehinggalah profesional.

Perkhidmatan ini tidak terhad kepada pencegahan kecederaan namun ianya turut merangkumi program rehabilitasi, program persediaan untuk kembali bersukan dan juga program persediaan pramusim yang disediakan kepada kelab-kelab seperti Selangor FC, Perak FC dan Felcra FC.

Selaras dengan ikatan perjanjian MoU antara PPUM dan FAM ini, PPUM menyatakan kesungguhan dan kesediaan dalam memberikan perkhidmatan perawatan secara komprehensif kepada ahli sukan yang memerlukan dengan melibatkan perkhidmatan daripada pelbagai disiplin perubatan.

Melalui usaha ini, PPUM berkeyakinan bahawa perkhidmatan perubatan sukan dapat mengorak langkah lebih maju ke hadapan dalam memenuhi keperluan di Malaysia. 

Komen