Stesyen televisyen berbayar, Astro mengumumkan menambah enam buah saluran khusus untuk menyiarkan temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China bermula 23 September hingga 8 Oktober kelak.
Melaluinya (saluran HD 785-790), Astro bakal membawakan liputan komprehensif selama 18 jam setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam dalam definisi tinggi (HD) untuk pelanggan pek sukan Astro.
Sementara itu, Astro Arena (saluran HD 801) pula akan membawakan perkembangan lebih dekat aksi atlet negara buat semua pelanggan Astro termasuk di AstroGO. Manakala pelanggan NJOI pula boleh mendapatkan enam saluran dedikasi ini melalui pembelian Sports Mega Pack.
Untuk makluman semua, upacara perasmian dan pembukaan Sukan Asia 2022 Hangzhou ini akan berlangsung bermula jam 7 malam (waktu Malaysia) dan disiarkan secara langsung menerusi saluran HD 785 dan Astro Arena HD 801.
Bagi membawakan menghangatkan lagi temasya sukan terbesar benua asia edisi ke-19 ini, selain laporan berita di Nadi Arena setiap hari, Astro turut membawakan program-program khas seperti Di Ambang Sukan Asia, Pasca Sukan Asia Ke-19, Selamat Pagi Hangzhou, Liputan Harian Sukan Asia Ke-19, Pentas Tumpuan Sukan Asia, Aksi Hangzhou dan Best Of The Game Hangzhou 2022 di saluran 801.
Turut dikongsikan, wartawan-wartawan Astro Arena seperti Fariha Razak, Zulhelmi Zainal Azam, Syen Yeoh dan Karl Nunis akan berkampung di Hangzhou untuk membawakan perkembangan lebih dekat atlet-atlet negara yang akan beraksi di temasya itu nanti.
Untuk temasya kali, Kontinjen Malaysia yang dianggotai 289 orang atlet serta 145 orang pegawai akan terbang ke Hangzhou, China diketuai Chef De Mission (CDM), Dato’ Chong Kim Fatt dengan sasaran membawa pulang 27 butir pingat tanpa mengira warna.