Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dengan berat hatinya terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi buat kali terakhir di temasya Sukan Asia yang akan berlangsung di Hangzhou, China bermula 23 September nanti.
Pelumba berusia 35 tahun yang berasal dari Dungun, Terengganu ini terpaksa membuat keputusan sedemikian agar dapat menumpukan perhatian untuk pulih daripada kecederaan yang dialaminya susulan kemalangan ketika sesi latihan di Velodrom Nasional, Nilai pada Jumaat lalu.
Perkara ini penting agar tidak menjejaskan peluang buat pelumba yang mendapat julukan The Pocket Rocketman untuk beraksi temasya Sukan Olimpik Paris 2024 – yang berbaki 322 hari sahaja lagi bermula hari ini.
“Dukacita saya maklumkan, dengan itu, apabila kita sepakat mengambil keputusan untuk saya menarik diri daripada penampilan di Sukan Asia ini,”
“Saya ingin memohon maaf kepada kontinjen kita dan juga seluruh rakyat Malaysia yang berharap untuk saya beraksi di sana,”
“Kalau ikutkan yang paling kecewa dan yang paling sedih adalah diri sayalah tapi tumpuan utama buat masa sekarang adalah pulih secepat mungkin dan memulakan latihan untuk mempersiapkan diri untuk tahun hadapan,” katanya dalam satu sidang media khas yang diadakan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada petang tadi.
Bercerita dengan teliti mengenai kemalangan yang menimpa, Azizul atau turut mesra dengan panggilan Jijoe menjelaskan dirinya jatuh pada kelajuan 95km/j sebelum terseret di atas lantai velodrom sejauh lebih 20 meter ekoran tayar basikalnya meletup.
“Saya landing on left side dahulu dan menyebabkan mengalami kebanyakan luka di bahagian badan sebelah kiri terutamanya tangan dan pinggul,” ujarnya kepada para wartawan.
Susulan daripada kemalangan tersebut, Azizul bergegas ke Institut Sukan Negara (ISN) untuk menjalani pemeriksaan x-ray dan keputusannya tidak menunjukkan berlaku sebarang patah. Namun begitu, ketika menjalani imbasan ultrasound, Azizul berkata keputusan menunjukkan berlaku kecederaan tisu.
Difahamkan, dua hari selepas kemalangan tersebut, Azizul kembali ke velodrom untuk melakukan latihan pemanas badan dan kesakitan di bahagian pinggul kirinya amat dirasai.
Sementara itu, Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill menghormati keputusan dilakukan Azizul yang diletakkan sandaran untuk membawa pulang pingat emas menarik diri daripada menyertai Sukan Asia.