Piala AFC: Nathan Paull Hadiahkan Kemenangan Buat Terengganu
September 20, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad yang berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Terengganu FC berjaya memulakan kempen Piala AFC yang pertama selepas 11 tahun dengan kemenangan sekaligus mengutip tiga mata berharga.

Beraksi di laman sendiri, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA), skuad kendalian Tomislav Steinbruckner melakar kemenangan tersebut berpunca daripada kesilapan pertahanan Central Coast Mariners, Nathan Paull yang menjaringkan gol sendiri.

Ianya terjadi pada penghujung babak pertama apabila Nathan tertampan bola hantaran lintang oleh Nurillo Tukhtasinov dari sebelah kiri ke dalam gawangnya sekaligus membolehkan Terengganu menuju ke bilik persalinan dengan mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, Terengganu dan Mariners saling mengatur serangan untuk menembusi gawang lawang masing-masing. 

Pada babak berkenaan, Tomislav sempat membuat beberapa pertukaran dengan memasukkan Adisak Kraisorn, Omid Nazari dan Liridon Krasniqi. Manakala Mariners bimbingan Abbas Saad turut melakukan perkara yang sama dengan menghadirkan Wenzel-Haul, Theoharous, Tulio dan Farrell.

Namun begitu, kekentalan kedua-dua pasukan bertahan dan menyerap asakan terutamanya skuad tuan rumah membuatkan pendahuluan 1-0 kekal berpihak kepada Terengganu sehingga pengadil meniup wisel menamatkan permainan.

Hasil kemenangan bersejarah ini, Terengganu kini menghuni tangga kedua Kumpulan G di belakang Bali United yang berjaya membelasah Stallion Laguna 5-2 dalam perlawanan yang berlangsung sebelah petang tadi.

Untuk perlawanan seterusnya dalam saingan Piala AFC, Terengganu akan terbang untuk bertandang ke Stadium Kapten I Wayan Dipta bagi menentang Bali United pada 4 Oktober kelak.

Featured Image: AFC

Komen