Kerajaan Negeri Pahang tampil melancarkan Tabung Sukan Pahang sebagai inisiatif terbaru yang diharap bakal mengubah landskap bidang sukan di negeri berkenaan.
Pelancaran tabung berkenaan telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena dengan Hari Anugerah Sukan Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan NGO Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal memaklumkan penubuhan tabung ini merupakan satu langkah besar, satu agenda yang terancang, serta satu komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memperkasa prestasi dan kemajuan sukan di negeri Pahang.
“Pihak yang menyumbang kepada Tabung ini bukan sahaja mendapat pelepasan cukai, tetapi turut berpeluang terlibat menjayakan program pembangunan atlet dan sukan berprestasi tinggi di negeri ini.” katanya.
Beliau turut berkongsikan enam tujuan utama penubuhan Tabung Sukan Pahang iaitu memperkasa program pembangunan sukan berprestasi tinggi, mengutamakan kebajikan atlet dan jurulatih, merancakkan program pembangunan bakat sukan, mempertingkatkan kualiti fasiliti sukan, memperkukuh kepakaran dan profesionalisme sains sukan dan akhir sekali meningkatkan penajaan sektor swasta dan korporat.
Featured Image: Facebook Fadzli Kamal