Artikel

Fadhil Zonis Ganti Azizul Dalam Acara Keirin Sukan Asia 2022

Pelumba berusia 25 tahun, Muhammad Fadhil Mohd Zonis menjadi pengganti kepada Datuk Azizulhasni Awang dalam acara keirin di temasya Sukan Asia 2022 yang berlangsung di Hangzhou, China bermula Sabtu nanti.

Perkara itu disahkan oleh ketua jurulatih negara, John Beasley dalam sidang media mengenai status kecederaan melibatkan Azizul yang berlangsung di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, petang semalam.

Fadhil akan menyertai acara keirin individu itu bersama-sama seorang lagi pelumba kebangsaan iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

“Sekarang merupakan peluang yang terbaik untuk mereka (Firdaus Shahrom dan Fadhil Zonis) menunjukkan kepada semua betapa bagusnya mereka,” 

“Mereka telah lama berada di bawah bayang-bayang Datuk Azizul, ini masanya untuk mereka ke hadapan dan tunjukkan kemampuan yang ada,” katanya.

Terdahulu, Fadhil sepatutnya beraksi dalam kategori pecut individu di temasya Sukan Asia edisi ke-19 ini. Berdasarkan situasi samasa yang menuntut Fadhil menggantikan “The Pocket Rocketman” dalam acara keirin, acara pecut individu tersebut diisi oleh Muhammad Ridwan Sahrom.

Untuk makluman semua, acara basikal trek akan bermula dari 26 September dan berakhir pada 29 September. Kesemua acara basikal trek ini akan dilangsungkan di Velodrom Pusat Sukan Chun’an Jieshou.

Featured Image: Instagram Fadhil Zonis

komen