PM Srettha Maklumkan Thailand & ASEAN Sedia Bida Piala Dunia FIFA 2034
September 21, 2023 Hafizuddin Omar

Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin mengatakan negaranya serta negara-negara ASEAN bersedia untuk membida hak bagi penganjuran bersama Piala Dunia FIFA 2034.

Ahli politik berusia 61 tahun terbabit melontarkan perkara berkenaan ketika bertemu Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA), Gianni Infantino di New York, Amerika Syarikat (AS) pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Ianya turut dikongsikan Srettha menerusi platform media sosial peribadinya, X atau dahulunya dikenali sebagai Twitter.

Menurut portal berita, Bangkok Post yang memetik tulisannya di akaun media sosialnya, pertemuan Srettha bersama Infantino adalah bertujuan untuk berbincang bagi menambah baik kerjasama berkaitan sukan antara badan induk bola sepak dunia tersebut dengan negara-negara anggota ASEAN.

Dalam hantaran yang sama, Srettha turut memaklumkan bahawa Thailand telah dipilih sebagai tuan rumah bagi Kongres FIFA Kali Ke-74 yang berlangsung pada November 2024. Pemilihan itu menyaksikan Thailand bakal dilawati lebih 2,000 pentadbir dan pemain untuk hadir ke acara berkenaan. 

Tambahnya lagi, bola sepak merupakan sukan kegemarannya dan beliau berharap pertemuannya dengan Presiden FIFA akan mencipta lebih peluang kepada pembangunan bola sepak di Thailand.

Pada masa yang sama, Srettha turut mengucapkan terima kasih kepada FIFA atas sokongan terhadap pembangunan bola sepak remaja di negaranya selain menambah jumlah skuad kebangsaan yang bertanding di kejohanan Piala Dunia.

Komen