Artikel

Malayan Tigress Diikat Tanpa Jaringan Pasukan Ranking 157

Skuad bola sepak wanita kebangsaan, Malayan Tigress nampaknya mengulang skrip perlawanan pertama iaitu seri tanpa sebarang jaringan ketika bertemu Pakistan dalam aksi kedua peringkat Kumpulan A di Kejohanan Women’s International Friendly yang berlangsung di Taif, Arab Saudi.

Dalam perlawanan tersebut, ketua jurulatih, Soleen Al-Zoubi mengekalkan hampir majoriti kesebelasan utama sepertimana ketika menentang Arab Saudi baru-baru ini kecuali menampilkan tiga muka baharu iaitu Ainie Tulis, Lyana Soberi dan Ainsyah Murad.

Mengulas mengenai keputusan 0-0 bertemu pasukan yang berada di ranking ke-157 terbabit, Soleen menyatakan ianya bukanlah satu keputusan yang dimahukan. 

“Kami hanya tak cukup kuat untuk menyudahkan peluang di depan gol, kami tak cukup masa untuk meningkatkan penyudah mereka, mereka memerlukan lebih banyak sesi latihan,” katanya selepas perlawanan.

Namun begitu, Soleen memuji beberapa peningkatan yang ditampilkan anak-anak buahnya segi tempo permainan, peluang yang tercipta dan mendominasi kawasan padang mereka berbanding ketika bertemu Arab Saudi.

Dengan keputusan ini, Malayan Tigress kini mengungguli Kumpulan A dengan dua mata. Akan tetapi, mereka perlu menunggu selesainya perlawanan antara Arab Saudi dan Pakistan yang dijadualkan berlangsung pada 24 September (Ahad) untuk melihat samada dapat mara ke pusingan seterusnya atau tidak.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen