Platform penstriman berasaskan langganan, Netflix memaklumkan dokumentari berkisarkan hidup dan kerjaya antara bekas pemain bola sepak termasyhur dunia, David Beckham akan ditayangkan bermula 4 Oktober.
Dokumentari berjudul BECKHAM yang diarahkan oleh Fisher Stevens ini akan menceritakan bagaimana pemain kelahiran London ini muncul sebagai fenomena global pada ketika itu.
Bukan itu sahaja, kisahnya bermula dari zaman persekolahan, ditendang but mengenai keningnya oleh Sir Alex Ferguson serta percintaan dan perkahwinannya dengan Victoria akan dimuatkan dalam empat buah episod yang berdurasi 60 minit setiap satunya.
Sepanjang bergelar pemain, selain Manchester United, Beckham telah menyertai Real Madrid, AC Milan, LA Galaxy dan Paris-Saint Germain (PSG). Beckham turut menjadi taruhan utama England dengan tampil sebanyak 115 kali, menjaringkan 17 gol dan mencipta 42 “assist”.
Untuk makluman, siri dokumentari ini diarahkan oleh pemenang Academy Award, Fisher Stevens terbitan Studio 99 dengan kerjasama Ventureland.