Astro Bawakan 60 Perlawanan ACL, Piala AFC Secara Langsung & Tertunda
September 25, 2023 Hafizuddin Omar

Kelibat Johor Darul Ta’zim (JDT) yang beraksi kancah Liga Juara-Juara AFC (ACL) serta Terengganu FC dan Sabah FC yang berentap dalam saingan Piala AFC musim 2023-24 akan dapat disaksikan oleh pelanggan pek sukan Astro.

Menurut makluman daripada stesen televisyen berkenaan, pihaknya akan membawakan sebanyak 60 perlawanan secara langsung dan tertunda membabitkan perlawanan pilihan saingan ACL dan Piala AFC menerusi Arena Bola (saluran 803 & 804) dan juga di Astro Supersport (saluran 812 & 813).

Difahamkan, perlawanan melibatkan kelab-kelab Malaysia di kedua-dua pentas anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ini akan disiarkan secara langsung oleh Astro.

Sementara itu, perlawanan tertunda pula akan dibawakan Astro kepada pelanggan-pelanggannya melibatkan kelab dari Liga Profesional Saudi (SPL) seperti Al Hilal, Al Nassr dan Al Ittihad melalui Astro Arena (saluran 801 & 802).

Bagi merancakkan lagi kehangatan pembabitan kelab-kelab Malaysia serta saingan ACL dan Piala AFC ini, Astro membariskan Ahmed Sharazad Sani, Botak, Keesh Mat Stats dan Faiz Gurun untuk menyajikan perbincangan menarik dan penuh taktikal bersama tetamu pakar bola sepak seperti Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Nizaruddin Yusof, Razman Roslan dan Shahrom Kalam.

Manakala barisan pengulas bola sepak ikonik tanah air seperti Zainal Abidin Rawop, Hafizal Hamad, Izwan Mohd Noor, Aiman Sekaiichi dan Wan Khairil Azwa pula akan menemani penonton-penonton semasa berlangsungnya perlawanan-perlawanan terbabit.

Untuk makluman, saingan ACL dan Piala AFC ini berlangsung bermula 18 September 2023 dan menutup tirainya pada 25 Mei 2024.

Komen