3 Entiti Bincang Penggunaan SNBJ Untuk Perlawanan Bola Sepak
September 25, 2023 Hafizuddin Omar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Malaysian Football League (MFL) pada hari ini turun bertemu Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk berbincang mengenai penggunaan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai venue perlawanan bola sepak. 

Difahamkan ianya bertujuan untuk menyusun jadual penggunaan stadium berkapasiti sekitar 87,000 tempat duduk itu untuk perlawanan bola sepak bagi baki tahun 2023.

Perbincangan lebih menjurus kepada persediaan pihak PSM menjelang pertandingan Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung di Stadium Nasional dari 13 hingga 17 Oktober 2023 serta perlawanan pertama Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, skuad Harimau Malaya menentang Republik Kyrgyz pada 16 November 2023.”

“Selain itu, bagi saingan liga domestik, Final Piala Malaysia 2023 dijadual berlangsung di Stadium Nasional pada 9 Disember 2023.” demikian perkongsian FAM menerusi platform media sosialnya.

Pada kesempatan yang sama, ketiga-tiga entiti ini turut membincangkan mengenai kalendar bola sepak tempatan dan antarabangsa bagi tahun 2024.

Bagi skuad Harimau Malaya sendiri, mereka dijadualkan melayan kunjungan Oman pada 26 Mac serta Chinese Taipei/Timor Leste pada 11 Jun pada tahun hadapan bagi saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 peringkat Kumpulan D.

Hamidin berpuas hati dengan persiapan venue oleh pihak PSM, termasuk berkaitan dengan tempat duduk penonton serta padang dan berharap agar perlawanan-perlawanan tersebut dapat berlangsung dengan lancar dan sempurna.” ujar kenyataan oleh FAM.

Untuk makluman, mesyuarat pada hari menyaksikan FAM turun diwakili oleh presiden, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin bersama-sama timbalannya, Dato’ S. Sivasundaram, naib presiden, Mohd Firdaus Mohamed dan exco, ACP (B) MD Dali Wahid selaku pengerusi dan timbalan pengerusi jawatankuasa pertandingan serta setiausaha agung, Datuk Noor Azman Haji Rahman.

Turut bertandang ke mesyuarat berkenaan adalah ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon dan penolongnya, Paul Marti Vicente.

Manakala MFL selaku badan penganjur bola sepak tempatan diwakili oleh presiden, Dato’ Ab Ghani Hassan dan ketua pegawai eksekutif, Datuk Stuart Ramalingam.

Sementara itu, PSM pula dihadiri oleh pengerusi, Dato’ Hans Isaac serta ketua pegawai eksekutif, Mohd Faidz Sanusi dan ahli lembaga pengarah, Zahir Kelvin Ong Abdullah.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen