Selangor FC Dapat ‘Kipas’ Selama Tiga Tahun
September 27, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC menerima satu penajaan baharu daripada syarikat tempatan yang terkenal dengan penghasilan perkakas elektrik seperti kipas, pengisar, peti sejuk dan sebagainya iaitu Khind.

Penajaan tersebut hadir selepas Khind Marketing Malaysia diwakili oleh ketua pegawai eksekutifnya, Adil Jimmy Mistry dan Selangor FC yang turut diwakili ketua pegawai eksekutif, Dr. Johan Kamal Hamidon tampil mengumumkan kerjasama strategik bermula dari tarikh perjanjian dimeterai iaitu pada hari ini sehingga Disember 2025 dalam satu majlis, pada pagi tadi.

Dalam majlis berkenaan, kedua-dua pihak bersepakat tidak mendedahkan sebarang jumlah penajaan samada bentuk wang tunai mahupun barangan bagi perjanjian selama tiga tahun ini.

Namun begitu, menerusi kerjasama ini, Khind merancang untuk menganjurkan aktiviti di stadium semasa perlawanan sebagai tuan rumah sekaligus memberi peluang kepada peminat di Selangor untuk menyertai dan melibatkan diri dalam acara menarik. Selain itu, aktiviti yang melibatkan barisan pemain Selangor FC akan turut diadakan untuk memberi peluang interaksi unik buat penyokong dan pengguna.

Pada masa yang sama, Dr. Johan memaklumkan logo Khind akan turut disematkan pada jersi-jersi skuad berjulukan Red Giants namun belum memuktamadkan lagi kedudukan logo “Khind” tersebut.

Sebagai tambahan, pihak Khind turut memberikan bayangan bahawa akan ada  pengeluaran produk-produk kolaborasi khas antaranya dan Selangor FC buat para penyokong tegarnya.

Komen