Keisuke Honda Tiada Dalam Perancangan FAM
September 27, 2023 Hafizuddin Omar

Pemain legenda skuad kebangsaan Jepun, Keisuke Honda tidak berada dalam perancangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dijadikan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23).

Perkara terbabit disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman selepas Majlis Pelancaran Karnival Uniti Pesta Bola Merdeka 2023 bertempat di Perkarangan Lobi Kementerian Perpaduan Negara, pada hari ini.

“Eh, tiada… tiada…” jawabnya ringkas kepada para pengamal media.

Honda yang kini berusia 37 tahun menjadi topik perbincangan hangat terutamanya kalangan peminat bola sepak tempatan apabila memuat naik satu hantaran di laman sosial, X memaklumkan sedang berada di ibu negara, Kuala Lumpur.

Susulan hantaran terbabit, terdapat beberapa peminat membayangkan serta membuat andaian bahawa kehadiran bekas pemain menyerang AC Milan itu ke sini berkemungkinan besar adalah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Coach Ela.

Sebelum ini, Honda pernah dilantik sebagai pengurus skuad senior kebangsaan Kemboja bermula tahun 2018. Namun begitu, selepas gagal membawa Kemboja melepasi saingan peringkat kumpulan Piala AFF 2022, Honda diberikan peranan baharu iaitu pengurus skuad bawah 22 tahun (B-22) Kemboja menghadapi temasya Sukan SEA 2023 di negaranya sendiri.

Bagaimanapun, skuad kendaliannya turut sama terpaksa akur gagal ke peringkat separuh akhir Sukan SEA apabila sekadar menamatkan saingan peringkat Kumpulan A di tempat ketiga. Selepas saingan itu, Honda mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak Kemboja. 

Namun begitu, Azman melihat individu yang akan dipilih untuk mengisi kelak posisi ketua jurulatih itu kelak mestilah boleh menerapkan corak permainan yang sama seperti skuad senior kebangsaan, Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon.

Sebagai rekod, pada 18 September lalu, FAM memaklumkan mula meneliti dan berbincang dengan pihak-pihak yang terlibat untuk mencari pengganti E. Elavarasan yang meletakkan jawatan dan kembali kepada tugasan asalnya selaku penolong jurulatih kepada Kim Pan-gon.

Featured Image: Facebook Keisuke Honda

Komen