Sukan Asia: Nur Shazrin Sumbang Emas Pertama Buat Malaysia, Tempah Tiket Olimpik
September 27, 2023 Hafizuddin Omar

Kontinjen Malaysia berhasil membutirkan pingat emas pertamanya di temasya Sukan Asia 2022 yang sedang berlangsung di Hangzhou, China.

Kilauan pingat tersebut disumbangkan oleh atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohamad Latif menerusi acara Women’s Single Dinghy – ILCA 6 yang berlangsung di Pusat Pelayaran Ningbo Xiangshan.

Atlet berusia 25 tahun menghuni kedudukan teratas dengan 25 mata penalti dinobatkan sebagai pemenang selepas perlumbaan terakhir pada hari ini terpaksa dibatalkan susulan ketiadaan angin untuk menjalankan pertandingan.

Sementara itu, Stephanie Louise Norton dari Hong Kong serta Victoria Chan Jing Hua dari Singapura meraih 37 dan 38 mata melengkapkan podium dengan membawa pulang pingat perak dan gangsa masing-masing.

Susulan kejayaannya meraih pingat emas ini, Shazlin turut sama mendapat tiket untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Featured Image: Majlis Sukan Negara Malaysia

Komen