Liga Super: JDT Rangkul Kejuaraan Kesepuluh, Bawa Pulang RM2.4 Juta
September 27, 2023 Hafizuddin Omar

Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) menempa satu lagi rekod baharu dalam sejarahnya apabila muncul juara saingan domestik, Liga Super buat kali kesepuluh berturut-turut.

Kejuaraan tersebut hadir pada perlawanan ke-22 selepas skuad berjulukan Harimau Selatan ini menundukkan PDRM FC dengan keputusan 4-0 yang berlangsung di laman sendiri, Stadium Sultan Ibrahim (SSI), sebentar tadi.

Biarpun pasukan pelawat yang berjulukan The Cops turun dengan taktikal bertahan, JDT bimbingan Esteban Solari tetap berhasil mencipta jaringan bermula dengan penyerang profiliknya, Bergson da Silva pada minit ke-37 permainan.

Berselang tiga minit kemudian, pemain tengah, Juan Muniz menambah luka buat PDRM FC apabila menggandakan jaringan sekaligus menjadikan perlawanan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 2-0.

Memasuki babak kedua, JDT tidak menunggu lama untuk menambah satu lagi jaringannya menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Arif Aiman pada minit ke-54 untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Tidak lama selepas itu, JDT membuatkan kedudukan menjadi 4-0 apabila Fernando Forestieri menyumbat satu lagi jaringan melepasi penjaga gol PDRM FC, Mohd Ramdhan Ab Hamid.

Hasil kemenangan pada malam ini, JDT telah mengumpul 64 mata hasil daripada 21 kemenangan dan satu keputusan seri. Secara matematiknya, pungutan mata ini sudah tidak dapat dipintas oleh mana-mana pasukan lain biarpun JDT tumpas dalam baki empat perlawanan musim ini.

Sebagai rekod, JDT julung kalinya menjulang trofi kejuaraan Liga Super adalah pada tahun 2014.

Pada masa yang sama, kejuaraan yang diraih pada musim ini membolehkan JDT membawa pulang wang tunai berjumlah RM2.4 juta dimana RM1.9 juta hasil mengungguli carta liga dan RM500,000 pula merupakan agihan rata – mekanisme yang julung kalinya ditetapkan oleh penganjur, Malaysian Football League (MFL) bermula musim ini.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen