Juara, Naib Juara, Ketiga Liga Pro Saudi Layak Ke ACL Elite 2024-25
September 29, 2023 Hafizuddin Omar

Juara, naib juara dan penghuni tempat ketiga Liga Pro Saudi musim 2023-24 akan layak menyertai saingan bola sepak kasta tertinggi di benua asia iaitu Liga Juara-Juara AFC Elite atau ACL Elite secara automatik bagi musim 2024-25.

Perkembangan itu hadir setelah Ahli Lembaga Pengarah SAFF mengumumkan meluluskan mekanisme penyertaan kelab-kelab Arab Saudi dalam pertandingan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), baru-baru ini.

Pada ketika ini, Al Ittihad yang dibarisi pemain bintang seperti Karim Benzema, N’golo Kante dan Fabinho mendahului carta Liga Pro Saudi dengan 18 mata setelah mengharungi tujuh perlawanan.

Sementara itu, Al Hilal yang dikuatkan dengan pemain handalan seperti Neymar, Malcolm, Kalidou Koulibaly dan Ruben Neves pula mengekori rapat di tangga kedua dengan 17 mata. Manakala tempat ketiga pula sedang dihuni oleh Al Taawoun dengan pungutan 16 mata.

Pada masa yang sama, juara kejohanan kalah mati, King’s Cup pada musim ini pula akan mendapat slot automatik ke saingan kasta kedua benua asia iaitu Liga Juara-Juara AFC 2 atau ACL2 bagi musim 2024-25.

Namun begitu, sekiranya juara King’s Cup adalah kelab yang sama menamatkan saingan Liga Pro Saudi di tempat pertama, kedua atau ketiga maka slot berkenaan secara automatiknya akan diberikan kepada kelab yang menghuni tangga keempat liga.

Sebagai perbandingan, Malaysia hanya memperuntukkan slot ke ACL Elite kepada kelab yang menjuarai Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah mengesahkan kejuaraannya setelah menumpaskan PDRM FC pada Rabu lalu.

Manakala slot ke saingan ACL2 pula akan diberikan kepada juara Piala FA. Namun begitu, JDT juga merupakan juara Piala FA setelah menundukkan Kuala Lumpur City FC (KL City) pada Julai lalu.

Justeru, penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) telah menetapkan slot tersebut akan diberikan kepada kelab yang menamatkan saingan Liga Super musim ini selaku naib juara.

Featured Image: AFC

Komen