Sukan Asia: Tumpas Di Tangan Thailand, Skuad Takraw Negara Bawa Pulang Perak
September 29, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad takraw lelaki negara terpaksa berpuas hati dengan kilauan pingat perak dalam acara regu berpasukan di temasya Sukan Asia 2022 yang berlangsung di Hangzhou, China.

Ini selepas skuad negara bimbingan Ahmad Jais Baharun terpaksa akur dengan kehebatan Thailand dan mengalami kekalahan 2-0 dalam perlawanan akhir yang baru sahaja tamat sebentar tadi.

Pada pertarungan pertama, Malaysia turun dengan regu yang dibarisi Muhammad Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Nordin dan Farhan Adam untuk menentang Sittipong Khamchan, Pichet Pansan dan Wichan Temkort.

Regu ini mengalami kekalahan secara “straight set” menerusi skor 21-15 dan 21-14 sekaligus ketinggalan 0-1 kepada Thailand.

Pada pertarungan kedua, Malaysia menurunkan pula Mohammad Syahir Rosdi (diganti Zarif Marican Ibrahim Marican), Mohamad Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir menentang Siriwat Sakha, Jantarasena Varayut dan Pattarapong Yupadee.

Sepertimana pertarungan pertama, regu negara pada pertarungan kedua turut tumpas secara “straight set” menerusi skor 13-21 dan 18-21 sekaligus menjadikan kedudukan 2-0 dan mengesahkan kejuaraan Thailand pada temasya kali ini.

Sebagai rekod, pingat perak yang dimenangi skuad negara ini mengulangi pencapaian yang dilakukan skuad negara pada edisi Sukan Asia di Palembang lalu. Menariknya, Thailand turut sama menjadi lawan buat Malaysia pada perlawanan akhir sebelum meraih pingat emas pada edisi tersebut.

Featured Image: Persatuan Sepak Takraw Malaysia – PSM

Komen