Gandingan tuan rumah yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan, Lee Jhe-huei dan Yang Po-hsuan menjadi batu penghalang kepada Lwi Sheng Hao dan Jimmy Wong untuk mara ke peringkat separuh akhir saingan Kaohsiung Masters 2023.
Ini selepas gandingan negara yang menghuni ranking ke-83 dunia terpaksa akur tumpas di tangan gandingan Lee-Yang yang juga merupakan kalangan beregu 20 terbaik dunia.
Dalam pertarungan tersebut, Lwi-Jimmy tumpas secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 21-16 dalam tempoh masa tidak sampai setengah jam.
Sebagai rekod, ini merupakan pertembungan julung kalinya melibatkan gandingan Lwi-Jimmy dan Lee-Yang di pentas antarabangsa.
Biarpun tumpas, kemaraan ke peringkat suku akhir Jelajah BWF bertaraf Super 100 ini merupakan pencapaian terbaik pernah dilakar Lwi-Jimmy dalam kariernya.
Sebelum ini, Lwi-Jimmy pernah beraksi dalam dua kejohanan bertaraf Super 100 iaitu di Terbuka Vietnam dan Indonesia Masters I pada pertengahan dan awal September baru-baru ini.
Kedua-dua kejohanan itu berakhir dengan Lwi-Jimmy menjejaki peringkat pusingan 32 dan pusingan 16 masing-masing.
Sementara itu, gandingan Lee-Yang akan turun berentap menentang samada beregu Jepun, Kenya Mitsuhashi dan Hiroki Akamura (ranking ke-67) atau beregu Chinese Taipei, Wei Chun Wei dan Wu Guan Xu (ranking ke-70) di peringkat separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada hari esok.