Atlet olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy melakar satu lagi pencapaian baharu dalam kariernya apabila berhasil memungut pingat gangsa di temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.
Atlet berusia 25 tahun ini memungut kilauan pingat berkenaan apabila menamatkan perlumbaan akhir acara 400 meter (m) wanita di tempat ketiga dengan catatan masa 52.58 saat (s), sebentar tadi.
Sementara itu, Oluwakemi Mujidat Adekoya dan Sal Eid Naser dari Bahrain pula menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua sekaligus menyapu pingat emas dan perak masing-masing.
View this post on Instagram
Kedua-dua pelumba berusia 30 dan 25 tahun masing-masing ini mencatatkan masa larian 50.66s dan 50.92s dalam perlumbaan bertempat di Stadium Olimpik Hangzhou terbabit.
Terdahulu, Shereen yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 berhasil mara ke perlumbaan akhir apabila muncul menjuarai perlumbaan peringkat saringan ketiga dengan catatan masa 52.89s, semalam.
Untuk makluman, hanya dua pelumba terbaik daripada setiap saringan layak ke perlumbaan akhir.
Sebagai rekod, catatan masa peribadi terbaik dilakukan Shereen setakat hari ini adalah 51.80s dilakukannya ketika beraksi dalam Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays di Amerika Syarikat (AS) sekitar April lalu.
Featured Image: Olympic Council Of Malaysia