Azeem Fahmi Muncul Ketiga Terpantas Di Sukan Asia
September 30, 2023 Hafizuddin Omar

Jaguh pecut tanah air, Muhammad Azeem Mohd Fahmi meletakkan namanya selaku pelari pecut ketiga terpantas di temasya Sukan Asia 2022.

Gelaran itu hadir apabila pelari berusia 19 tahun ini menamatkan acara pecut 100 meter (m) lelaki di tempat ketiga dengan catatan masa 10.11 saat (s) bertempat di Stadium Olimpik Hangzhou, sebentar tadi.

Kedudukan itu sekaligus membolehkan Azeem meraih pingat gangsa dan menaiki podium di temasya Sukan Asia buat julung kali dalam kariernya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Majlis Sukan Negara Malaysia (@msn_malaysia_official)

 

Sementara itu, pingat emas bagi acara ini dibawa pulang oleh pelari pecut China yang berusia 30 tahun iaitu Xie Zhenye dengan catatan masa 9.97s.

Manakala pingat perak pula diraih oleh pelari dari negara jiran tetangga iaitu Thailand, Puripol Boonson yang berusia 17 tahun dengan catatan masa 10.02s.

Terdahulu, Azeem yang merupakan kelahiran Perak berjaya mengesahkan tempat ke perlumbaan peringkat akhir apabila menamatkan aksi saringan kedua separuh akhir di tempat kedua dengan catatan masa 10.17s.

Kemaraan Azeem itu merupakan satu detik yang bersejarah buat Kontinjen Malaysia memandangkan kali terakhir atlet negara yang mara ke peringkat yang sama di Sukan Asia adalah 30 tahun lalu.

Sebagai perbandingan, catatan masa 10.09s yang dicipta Azeem di Kejohanan Olahraga Dunia B-20 pada tahun lalu masih menjadi rekod terbaik peribadinya serta rekod kebangsaan dalam acara 100m.

Komen