Gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin berhasil menjejaki pentas akhir yang kedua sejak mereka kembali bergandingan semula setelah mencatatkan kemenangan pada peringkat separuh akhir Kaohsiung Masters – Jelajah BWF bertaraf Super 100, hari ini.
Beregu lelaki negara yang menghuni ranking ke-29 dunia ini meraih kemenangan dengan menumpaskan gandingan senegara, Nur Mohd Azriyn dan Tan Wee Kiong.
Dalam pertarungan tersebut, Sze Fei-Izzuddin yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan mencapai kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-12 dan 21-17 dalam tempoh 26 minit permainan.
Kemenangan itu membawa mereka bertemu gandingan tuan rumah, Lee Jhe-huei dan Yang Po-hsuan yang menghuni ranking ke-19 dunia merangkap pilihan pertama kejohanan pada perlawanan akhir.
Untuk rekod, kedua-dua pasangan ini pernah bertemu sebanyak dua kali setakat ini dan berjaya meraih satu kemenangan masing-masing.
Pertemuan terakhir melibatkan mereka baru sahaja berlangsung di Terbuka Hong Kong 2023 sekitar dua minggu lalu dan kemenangan berpihak kepada Sze Fei-Izzuddin dengan skor 21-13 dan 21-15.
Manakala pertemuan julung kalinya melibatkan kedua-dua pasangan ini berlangsung di Princess Sirivannavari Thailand Masters 2020 yang menyaksikan Lee-Yang memenanginya menerusi tiga set permainan menerusi skor 19-21, 21-19 dan 16-21.
Untuk makluman, pentas perlawanan akhir yang pertama dijejaki oleh Sze Fei-Izzuddin sejak bergandingan semula adalah di Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan mereka muncul juara selepas menundukkan beregu Chinese Taipei, Lee Fang-chih dan Lee Fang-jen.
Featured Image: Swiss Open