Terengganu FC Lepaskan Ab Rasid Jusoh
October 2, 2023 Hafizuddin Omar

Kelab bola sepak berpangkalan di pantai timur semenanjung, Terengganu FC kini kehilangan khidmat Ab Rasid Jusoh selaku ketua pegawai eksekutifnya.

Perkembangan ini hadir ekoran Ab Rasid menerima pelantikan baharu di dalam kerajaan negeri selaku Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pengurusan) bermula bulan ini.

Pengesahan pemergian Ab Rasid itu diumumkan sendiri oleh pihak Terengganu FC menerusi pelbagai platform media sosialnya, semalam.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Terengganu Football Club️️ (@officialterengganufc)

Sebagai rekod, Ab Rasid yang mempunyai Ijazah Sarjana Pengurusan (Sukan) daripada Curtin University, Australia mula dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC sekitar penghujung Oktober 2020.

Bermula saat itu, Ab Rasid telah membawa banyak perkembangan serta pembaharuan baharu terhadap Terengganu FC seperti penempatan pejabat pengurusan kelab di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA), kerjasama strategik bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan jalinan kerjasama hampir 20 penaja setiap tahun.

Selain itu, Ab Rasid turut menggerakkan penubuhan TFC Lab – perniagaan makanan dan minuman, TFC Direct – perniagaan barangan cenderahati kelab secara fizikal dan dalam talian, mewujudkan kad keahlian, Terengganu FC Academy, TFC Play – platform penstriman video eksklusif serta aplikasi untuk telefon pintar Terengganu FC App dan lain-lain lagi.

Pemergian Ab Rasid ini menjadikan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC kini kosong. Setakat ini, Terengganu FC belum tidak menamakan sebarang individu untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan tersebut.

Featured Image: Terengganu FC

Komen