Sukan Asia: Kuartet 4x100m Lelaki Negara Mara Ke Pusingan Akhir
October 2, 2023 Hafizuddin Omar

Kuartet 4×100 meter (m) lelaki negara yang dibarisi Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Arsyad Md Saat, Jonathan Nyepa dan Muhammad Azeem Mohd Fahmi berjaya menempatkan diri ke pusingan akhir di temasya Sukan Asia 2022 yang berlangsung di Hangzhou, China.

Gandingan yang terdiri daripada pelumba berusia 25, 21, 27 dan 19 tahun ini menempah tiket ke pusingan akhir secara automatik setelah menamatkan larian di tempat ketiga dalam saringan pertama pada pusingan 1, pagi tadi.

Berdasarkan laporan rasmi, kuartet Malaysia menamatkan perlumbaan yang berlangsung Stadium Olimpik Hangzhou itu dengan catatan masa 39.40 saat (s).

Sementara itu, kuartet China dan Republik Korea pula muncul juara dan naib juara dalam perlumbaan terbabit dengan catatan masa 38.62s dan 38.75s masing-masing turut sama ke pusingan akhir.

Untuk makluman, kuartet negara akan turun beraksi di perlumbaan akhir acara ini bagi merebut kilauan pingat bermula jam 9.35 malam, esok.

Antara kuartet lain yang juga ke pusingan akhir ialah Thailand, Chinese Taipei, Jepun, Indonesia dan Singapura.

Sebagai perbandingan, rekod kebangsaan bagi acara ini adalah 39.09s yang dilakukan oleh gandingan Azeem, Arsyad, Muhammad Zulfiqar dan Haiqal Hanafi di Sukan SEA 2021 Hanoi.

Manakala catatan terbaik dilakukan oleh kuartet negara pada musim ini adalah 39.17s yang dicipta oleh Hafiz, Jonathan, Azeem dan Mohammad Thaqif di Kejohanan Olahraga Asia Ke-25 di Thailand sekitar Julai lalu.

Komen