Pesta Bola Merdeka: Penjaga Gol Terengganu FC Muka Baharu Dipanggil Kim Pan-gon
October 2, 2023 Hafizuddin Omar

Penjaga gol yang beraksi cemerlang bersama Terengganu FC sejak kebelakangan ini, Mohd Suhaimi Husin menjadi muka baharu yang ditampilkan oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon untuk menghadapi kejohanan Pesta Bola Merdeka 2023.

Selain penjaga gol berusia 29 tahun terbabit, Pan-gon turut menyenaraikan tiga pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) yang menyertai Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand pada September lalu iaitu Azam Azmi Murad (Terengganu FC), Mukhairi Ajmal (Selangor FC) dan Nooa Laine (SJK Seinajoki, Finland).

Sementara itu, baki 21 pemain lagi adalah muka yang sama telah dipanggil Pan-gon ketika menyertai kem latihan pusat terdahulu sebelum menentang Syria dan China pada 6 dan 9 September lalu.

Antaranya melibatkan tujuh pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Ahmad Syihan, Matt Davies, Corbin-Ong, Endrick dos Santos, Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid. 

Selain itu, ianya turut disertai lima pemain Selangor FC iaitu Sharul Nazeem Zulpakar, Brendan Gan, Faisal Halim, Quentin Cheng termasuk Mukhairi Ajmal.

Manakala empat daripadanya adalah dari Sabah FC iaitu Dominic Tan, Daniel Ting, Stuart Wilkin dan Darren Lok. Tidak dilupakan, jurulatih kelahiran Korea berusia 54 tahun ini memanggil Sergio Aguero, Nur Shamie Iszuan (Sri Pahang), Paulo Josue dan Azri Ghani (Kuala Lumpur City FC).

Akhir sekali, Pan-gon melengkapinya dengan memanggil dua lagi pemain berpangkalan di luar negara iaitu Dion Cools (Buriram United, Thailand) dan Junior Eldstal (Dewa United FC, Indonesia).

Kesemua 25 pemain yang disenaraikan Pan-gon ini akan memulakan kem latihan pusat pada 6 Oktober kelak.

Untuk makluman, skuad kebangsaaan berjulukan Harimau Malaya akan memulakan kempen Pesta Bola Merdeka 2023 dengan bertemu pasukan di ranking ke-102 dunia, India pada Perlawanan 1 atau separuh akhir.

Featured Image: Terengganu FC

Komen