Sukan Asia: Zii Jia Tumpaskan Ng Ka Long Angus, Melangkah Ke Pusingan 32
October 2, 2023 Hafizuddin Omar

Jaguh perseorangan lelaki tanah air, Lee Zii Jia berjaya melangkah ke Pusingan 32 dalam acara badminton individu di temasya Sukan Asia 2022.

Langkah itu tercipta setelah pemain berusia 25 tahun terbabit berjaya menumpaskan pemain No.2 Hong Kong, Ng Ka Long Angus di Pusingan 64, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Zii Jia terlebih dahulu tumpas 15-21 pada set pertama. Namun begitu, Zii Jia berhasil pada set kedua dengan mencatatkan kemenangan 21-15 sebelum memenangi set ketiga 21-16.

Kemenangan itu sekaligus menamatkan siri kekalahan sebanyak empat kali berturut-turut Zii Jia di tangan Angus sejak tahun 2019.

Sebelum itu, Zii Jia hanya pernah melakar satu kemenangan ketika menentang Angus iaitu pada pertemuan sulung mereka di Terbuka Jerman 2019.

Hasil daripada kemenangan ini, Zii Jia dapat meneruskan kemaraannya ke Pusingan 32 dalam acara badminton individu kategori perseorangan lelaki di Sukan Asia kali ini.  

Menantinya di peringkat terbabit adalah perseorangan Timor Leste, Mourinho Zefi Costa Gusmao de Jesus untuk merebut tiket ke Pusingan 16.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Ng Tze Yong yang mendapay ‘bye’ di Pusingan 64 akan bertemu jaguh Singapura yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan, Loh Kean Yew di Pusingan 32.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen