Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak memerlukan masa yang panjang untuk menumpaskan lawannya Mourinho Zefi Costa Gusmao De Jesus pada Pusingan 32 dalam acara badminton individu di temasya Sukan Asia 2022.
Pertarungan yang berlangsung sebentar tadi menyaksikan Zii Jia sekadar mengambil masa selama 17 minit sahaja untuk menumpaskan pemain dari Timor Leste itu secara “straight set” 21-0 dan 21-7.
Berdasarkan rekod rasmi, Zii Jia yang berada di ranking ke-16 dunia menamatkan set pertamanya dalam masa 8 minit sebelum menyudahkan set berikutnya dalam masa sekitar 10 minit.
Menerusi kemenangan ini, Zii Jia dapat meneruskan kemarannya ke Pusingan 16 dalam acara badminton individu di temasya Sukan Asia yang berlangsung Hangzhou, China ini.
Pada peringkat tersebut, Zii Jia akan menantikan cabaran samada dari pemain Thailand yang muncul menjuarai Kejohanan Dunia BWF 2023, Kunlavut Vitidsarn atau pemain Vietnam yang berada di ranking ke-104 dunia, Nguyen Hai Dang.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia