Apple TV+ iaitu platform penstriman video yang memaparkan kandungan Apple Originals mengumumkan akan menyiarkan dokumentari yang menceritakan disebalik tabir perjalanan pemenang Ballon d’Or sebanyak tujuh kali, Lionel Messi bersama Inter Miami pada 11 Oktober nanti.
Dokumentari bersiri berjudul “Messi Meets America” ini bakal ditayangkan menerusi enam episod. Bagaimanapun, hanya tiga buah episod sahaja ditayangkan untuk permulaan dan bakinya yang sedang dalam pembikinan akan ditayangkan apabila ianya siap kelak.
Apple TV+ juga telah berkongsikan treler Messi Meets America yang berdurasi 38 saat di saluran Youtube miliknya.
Melalui dokumentari ini, para penonton akan dibawa untuk menyaksikan dengan lebih dekat saat pemain berusia 36 tahun melakukan debut bersama Inter Miami sehingga menjuarai gelaran pertamanya di Amerika Syarikat iaitu League Cup.
Untuk makluman semua, siri dokumentari ini dihasilkan oleh pemenang Anugerah Emmy iaitu Tim Pastore, Patrick Milling Smith, Brian Carmody dan Matt Renner menerusi Smuggler Entertainment dengan kerjasama Major League Soccer (MLS).