Ranking BWF: Juara Kaohsiung Masters Hampiri Kelompok 25 Terbaik Dunia
October 3, 2023 Hafizuddin Omar

Gandingan semula beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin kini menghampiri kelompok 25 pasangan terbaik dunia susulan menjuarai saingan Kaohsiung Masters 2023 pada Ahad lalu.

Berdasarkan kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, Sze Fei-Izzuddin merekodkan peningkatan sebanyak tiga anak tangga sekaligus berada di tangga ke-26 dalam Ranking Dunia bagi minggu ini.

Kenaikan tiga anak tangga itu dicetuskan oleh pertambahan sebanyak 5,500 di Kaohsiung Masters menjadikan Sze Fei-Izzuddin kini mengumpul 43,140 mata daripada prestasi di 10 kejohanan terbaik yang disertainya dalam tempoh 52 minggu.

Sementara itu, beberapa beregu lain yang menyertai saingan yang sama turut merekodkan peningkatan dalam Ranking Dunia. 

Antaranya, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong serta Arif Junaidi-Yap Roy King yang mara sehingga ke pusingan 16 meningkat dua anak tangga dan menghuni ranking ke-47 dan ke-55 masing-masing.

Manakala gandingan Lwi Sheng Hao-Jimmy Wong yang melangkah sehingga ke peringkat suku akhir pula meraih peningkatan sebanyak 11 anak tangga dan berada di ranking ke-72 pada minggu ini.

Peningkatan paling ketara dilakar oleh Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong dengan kenaikan sebanyak 35 anak tangga hasil mara ke peringkat separuh akhir sekaligus menduduki ranking ke-109 dunia.

Tinjauan terhadap Ranking Dunia melibatkan tiga beregu lelaki utama negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula kekal di kedudukan kelima, kesembilan dan ke-23 masing-masing.

Featured Image: Kaohsiung Masters Facebook

Komen