Selangor FC Tamatkan Kontrak Pemain Import Sepak Pengadil
October 3, 2023 Hafizuddin Omar

Pemain import dari Jordan, Yazan Al-Arab yang bertindak menendang pengadil selepas perlawanan menentang Terengganu FC pada 24 September lalu kini bukan lagi pemain Selangor FC.

Ini selepas kelab berjulukan Red Giants terbabit membuat keputusan tegas dengan menamatkan kontrak pertahanan berusia 27 tahun terbabit berkuat kuasa serta-merta selepas membuat siasatan dalaman.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Selangor FC menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, petang tadi.

“Berikutan prosiding tatatertib tersebut, kelab telah memutuskan untuk menamatkan kontrak Yazan Al-Arab melalui penamatan kontrak bersama secara serta-merta.” tulis kenyataan kelab.

Untuk makluman semua, insiden Yazan menyepak pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir itu berlaku selepas tamat suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Selepas insiden terbabit, Yazan menerusi akaun media sosial peribadinya tampil meminta maaf kepada rakan sepasukan serta para penyokong atas tindakan tidak profesional terbabit dan mengambilnya sebagai pengajaran untuk menjadi pemain yang lebih baik di masa hadapan.

Bagaimanapun, disebalik tindakan tegas terbabit, pihak kelab turut merakamkan penghargaan atas khidmat dan baktinya selama menyarung jersi skuad Merah Kuning.

“Kelab ingin mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan yang terbaik untuk masa depan Yazan. Terima kasih, Yazan,” tambah kenyataan itu lagi.

Sebagai rekod, Yazan yang juga merupakan pemain skuad kebangsaan Jordan ditandatangani oleh Selangor FC sekitar penghujung tahun 2021.

Sejak dari itu, Yazan telah merekodkan 49 penampilan dalam kesemua pertandingan bersama skuad Red Giants disamping menjaringkan empat gol serta mencipta satu “assist”.

Featured Image: Selangor FC

Komen