Sukan Asia: Kuartet 4x100m Wanita Genggam Gangsa, Bahrain Disahkan DQ
October 3, 2023 Hafizuddin Omar

Barisan pelari pecut wanita negara yang terdiri daripada Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Aishah Rofina Aling dan Shereen Samson Vellabouy berjaya mencipta kejutan dengan merangkul pingat gangsa dalam acara 4×100 meter (m) di temasya Sukan Asia 2022.

Terlebih dahulu, kuartet negara dilihat menyudahkan larian pusingan akhir acara ini di tempat keempat apabila pelumba terakhir, Shereen gagal memintas pelumba keempat Bahrain di garisan penamat.

Sejurus sahaja tamat perlumbaan, skrin keputusan berserta catatan masa menunjukkan kuartet Malaysia menamatkan perlumbaan itu dalam tempoh 45.01 saat (s) – berbeza sebanyak 0.11s berbanding kuartet Bahrain.

Namun begitu, selepas keputusan rasmi dikeluarkan, kilauan pingat gangsa itu diberikan kepada kuartet Malaysia gara-gara penyertaan Bahrain dibatalkan atau “disqualified” (DQ).

Berdasarkan penjelasan, Bahrain yang dibarisi Farima Mubarak, Edidiong Ofonime, Zenab Moussa Ali dan Hajar Saad dibatalkan kerana melakukan kesalahan TR24.7 iaitu melakukan pertukaran baton diluar zon yang dibenarkan (awal/lewat).

Sementara itu, pingat emas pula dan perak pula menjadi milik kuartet China dan Thailand. Kedua-dua kuartet ini merekodkan masa larian 43.39s dan 44.32s masing-masing.

Manakala Hong Kong, Singapura dan Maldives pula menamatkan perlumbaan di tempat keempat, kelima dan keenam dengan catatan masa 45.24s, 45.34s dan 47.54s. 

Sebagai perbandingan catatan masa yang dilakukan kuartet negara di atas lebih perlahan berbanding catatan masa dilakukan oleh gandingan Azreen, Zaidatul, Nur Afrina dan Nur Aishah di temasya Sukan SEA 2023 Kemboja pada Mei lalu.

Dalam temasya berkenaan, kuartet terbabit menamatkan larian dalam masa 44.58s sekaligus menjadi rekod kebangsaan baharu disamping membawa pulang pingat gangsa.

Komen