Pemain bintang kelahiran Brazil, Neymar akhirnya berjaya mencetak jaringan sulung bersama Al Hilal selepas hampir dua bulan menyertai kelab terbabit.
Jaringan sulung daripada bekas pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu hadir ketika turun menentang kelab berpangkalan Iran, Nassaji Mazandaran dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Pemain berusia 31 tahun itu mencetak jaringan kedua buat pasukannya pada babak kedua ketika menentang skuad berjulukan Mazandaran Tigers di Stadium Azadi.
Jaringan itu terhasil selepas Neymar menerima tolakan cantik daripada Naser Aldawsari sebelum meledak menerusi kaki kirinya di atas garisan kotak penalti melepasi penjaga gol, Mohammad Rashid Mazaheri.
A wonderful strike by Neymar for his first Al Hilal goal ⚡️#ACL pic.twitter.com/DQcyCWdhiI
— #ACL (@TheAFCCL) October 3, 2023
Sebagai rekod, jaringan ini hadir pada penampilan kelimanya bersama Al Hilal – selepas tiga kali beraksi dalam saingan Liga Pro Saudi dan dua penampilan dalam kancah ACL.
Terdahulu, Al Hilal mendahului 1-0 hasil tandukan dalam kotak penalti oleh bekas penyerang Fulham, Aleksandar Mitrovic pada minit ke-18.
Pada masa kecederaan, Saleh Alshehri yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan satu lagi gol buat Al Hilal untuk menutup perlawanan dengan keputusan 3-0.
Hasil keputusan terbabit, Al Hilal kini mengungguli Kumpulan D biarpun berkongsi empat mata bersama-sama kelab Uzbekistan, Navbahor.
Featured Image: Al Hilal