Sukan Asia: Tang Jie-Ee Wei Bertemu Naib Juara Dunia Di Suku Akhir
October 4, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.1 tanah air, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei berjaya meloloskan diri ke peringkat suku akhir dalam acara badminton individu di temasya Sukan Asia 2022.

Kemaraan tersebut tercipta selepas Tang Jie-Ee Wei tidak mempunyai masalah untuk menundukkan gandingan campuran India, Sai Pratheek dan Tanisha Crasto secara “straight set” 21-18 dan 21-18 pada Pusingan 16, sebentar tadi.

Bagaimanapun, kemenangan itu membawa mereka bertemu gandingan naib juara Kejohanan Dunia BWF 2023 merangkap pasangan No.1 dunia, Zheng Si Wei dan Huang Ya Qiong di peringkat suku akhir.

Sebagai rekod, Tang Jie-Ee Wei pernah berentap menentang Si Wei-Ya Qiong ini sebanyak satu kali dalam saingan Terbuka Jepun pada penghujung Julai lalu.

Pertarungan itu berakhir dengan Tang Jie-Ee Wei terpaksa akur tumpas di tangan beregu China terbabit secara “straight set” dengan keputusan 11-21 dan 13-21.

Terdahulu, Si Wei-Ya Qiong yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan pada temasya ini melakar kemaraan ke peringkat suku akhir selepas mudah menundukkan wakil Bhutan, Bishnu Katwal dan Nangsal Tamang secara “straight set” menerusi skor 21-4 dan 21-7.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen