Sukan Asia: Beregu No.2 Thailand Kekang Soon Huat-Shevon Ke Suku Akhir
October 4, 2023 Hafizuddin Omar

Tatkala beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei meluncur ke peringkat suku akhir di Sukan Asia 2022, nasib yang berbeza menimpa gandingan campuran kedua negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai.

Pasangan yang menghuni ranking kesebelas dunia ini terpaksa aku melupakan hasrat melangkah ke peringkat suku akhir temasya ini apabila tumpas di tangan beregu No.2 Thailand, Supak Jomkoh dan Supissara Paewsampran pada Pusingan 16, sebentar tadi.

Pertarungan melibatkan kedua-dua pasangan ini berlangsung sengit dengan memakan masa hampir satu jam permainan.

Pada set pertama, Soon Huat-Shevon terlebih dahulu melakar kemenangan menerusi skor 21-17 sebelum dikejar semula oleh Supak-Supissara untuk mencatatkan kemenangan pada set kedua dengan skor 23-21.

Memasuki set ketiga, Supak-Supissara meneruskan persembahan mantapnya dan berjaya menamatkan pertarungan dengan kemenangan menerusi skor 21-13 sekaligus mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir. 

Berdasarkan rekod, ini merupakan pertemuan keempat melibatkan Soon Huat-Shevon dan Supak-Supissara di pentas antarabangsa.

Kekalahan Soon Huat-Shevon di tangan Supak-Supissara ini menjadikan rekod pertemuan melibatkan kedua-dua beregu seimbang dengan mencatatkan dua kemenangan masing-masing. 

Sementara itu, Supak-Supissara yang mara ke peringkat suku akhir akan bertemu pasangan China merangkap pilihan ketiga kejohanan, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen