Sukan Asia: Aaron-Wooi Yik Meluncur Ke Suku Akhir
October 4, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.1 tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik memastikan impian untuk membawa pulang pingat daripada acara badminton individu di temasya Sukan Asia 2022 tidak terpadam.

Pasangan yang kini menghuni ranking kelima dunia memastikan perkara berkenaan apabila mencatatkan kemenangan ke atas wakil Thailand, Supak Jomkoh dan Kittinupong Kedren pada peringkat Pusingan 16, hari ini.

Dalam pertarungan tersebut, Aaron-Wooi Yik berhasil merakamkan kemenangan secara “straight set” dengan keputusan 21-12 dan 21-14 dalam tempoh masa setengah jam permainan sahaja.

Pada masa yang sama, kemenangan ini turut menjadikan Aaron-Wooi Yik mencatatkan dua kemenangan berturut-turut ke atas Supak-Kittinupong di pentas antarabangsa.

Pada pertemuan sulung mereka di Terbuka Perancis 2021, Aaron-Wooi Yik turut sama melakar kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-12 dan 21-12 juga dalam tempoh masa sekitar setengah jam.

Sementara itu, Aaron-Wooi Yik yang mara ke peringkat suku akhir akan menantikan cabaran samada daripada beregu China, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi (ranking kelapan dunia) atau gandingan juara dunia dari Korea, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae untuk merebut tiket ke separuh akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen