Artikel

FIFA Umum Enam Negara Sebagai Hos Piala Dunia 2030

Bukan dua, bukan tiga dan bukan empat sebaliknya enam buah negara akan menjadi hos bagi kejohanan Piala Dunia FIFA 2030.

Menerusi kenyataan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA) pada tengah malam tadi, Majlis FIFA sebulat suara bersetuju memilih calon tunggal iaitu gabungan tiga negara terdiri daripada Maghribi, Portugal dan Sepanyol sebagai hos untuk menganjurkan Piala Dunia 2030.

Pada masa yang sama, skuad kebangsaan bagi ketiga-tiga negara ini juga layak secara automatik ke kejohanan Piala Dunia berdasarkan peruntukan slot sedia ada bergantung kepada kejayaan proses bidaan oleh FIFA dan keputusan Kongres FIFA pada 2024.

Umum tahu, Piala Dunia julung kalinya dianjurkan pada tahun 1930 dengan negara benua Amerika Selatan, Uruguay dipilih sebagai tuan rumah yang pertama.

Skuad kebangsaan Uruguay atau berjulukan La Celeste juga muncul juara bagi edisi pertama itu selepas berjaya menumpaskan seterunya, Argentina dengan keputusan 4-2 dalam perlawanan akhir yang disaksikan lebih 90,000 penonton.

Mengambil kira konteks sejarah penganjuran Piala Dunia tersebut, Majlis FIFA turut sama sebulat suara bersetuju untuk menganjurkan sambutan unik seabad Piala Dunia di ibu negara Uruguay iaitu Montevideo atau secara khususnya, Estadio Centenario.Β 

Disamping itu, FIFA turut memaklumkan Uruguay, Argentina dan Paraguay akan mengadakan satu perlawanan masing-masing merangkumi tiga perlawanan pertama bagi Piala Dunia 2030.

Keputusan ini secara langsungnya akan menjadikan bilangan hos bagi Piala Dunia 2030 adalah sebanyak enam negara – julung kalinya dalam sejarah penganjuran kejohanan bola sepak paling berprestij ini.Β Β 

Featured Image: FIFA

komen