Sukan Asia: Beregu No.1 Dunia Noktahkan Perjalanan Tang Jie-Ee Wei
October 5, 2023 Hafizuddin Omar

Perjalanan beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei dalam acara badminton individu di temasya Sukan Asia 2022 menemui titik noktahnya.

Ianya selepas pasangan yang menghuni ranking kesembilan dunia ini terpaksa akur tumpas sekali lagi di tangan beregu No.1 dunia dari China, Zheng Si Wei dan Huang Ya Qiong di peringkat suku akhir, sebentar tadi. 

Pertarungan yang berlangsung selama 44 minit permainan itu berkesudahan dengan Si Wei-Ya Qiong meraih kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-14 dan 23-21 bertempat di Gimnasium Binjiang.

Kemenangan itu sekaligus mengekang Tang Jie-Ee Wei untuk mara ke peringkat separuh akhir atau ke peringkat yang membolehkannya merebut sekurang-kurangnya kilaun pingat gangsa.

Sebagai rekod, ketika Tang Jie-Ee Wei bertemu Si Wei-Ya Qiong buat julung kalinya di Terbuka Jepun pada Julai lalu, mereka turut tumpas secara “straight set” menerusi skor 11-21 dan 13-21.

Sementara itu, Si Wei-Ya Qiong yang melakar kemaraan ke peringkat separuh akhir akan bertemu samada beregu Korea yang menjuarai Kejohanan Dunia BWF 2023, Seo Seung-jae dan Chae Yu-jung atau beregu Chinese Taipei yang berada di ranking ke-15 dunia, Ye Hong-wei dan Lee Chia-hsin untuk merebut tiket ke perlawanan akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen