Arab Saudi Umum Bida Hos Piala Dunia FIFA 2034
October 5, 2023 Hafizuddin Omar

Negara asia barat, Arab Saudi tampil mengumumkan niatnya secara rasmi untuk membida hak tuan rumah bagi menganjurkan kejohanan Piala Dunia FIFA 2034.

Bidaan julung kalinya dari negara terbabit diketuai oleh Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) dengan hasrat untuk membawakan sebuah kejohanan berkelas dunia dan menginspirasikan tranformasi sosial dan ekonomi serta keghairahan terhadap bola sepak yang berakar umbi di negara arab tersebut.

Menariknya, pengumuman bidaan hos kejohanan ini oleh SAFF ini hadir selepas Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bersetuju memilih calon tunggal bidaan iaitu Maghribi, Portugal dan Sepanyol bersama-sama Uruguay, Argentina dan Paraguay sebagai hos Piala Dunia 2030, sekitar tengah malam tadi (waktu Malaysia).

Bagi kejohanan Piala Dunia edisi 2034, FIFA menjemput negara-negara di bawah naungan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Konfederasi Bola Sepak Oceania (OFC) untuk membida hak penganjuran selari dengan prinsip penggiliran konfederasi yang diamalkan.

Pada masa yang sama, AFC menerusi presidennya, Sheikh Salman Bin Ibrahim Al Khalifa  turut meraikan dan menyokong bidaan yang dilakukan oleh SAFF terbabit.

Untuk makluman semua, sebelum ini Arab Saudi turut disahkan dipilih badan induk bola sepak dunia sebagai hos untuk Piala Dunia Kelab FIFA 2023 serta hos untuk kejohanan bola sepak peringkat benua, Piala Asia 2027 oleh AFC.

Featured Image: AFC

Komen