Seramai lima pemain import yang beraksi dalam kancah Liga Super pada musim ini dipanggil untuk memperkuatkan pasukan No.3 ASEAN iaitu skuad kebangsaan Filipina bagi menghadapi Bahrain dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada Jendela FIFA bagi Oktober 2023.
Berdasarkan senarai yang dikongsikan oleh Persekutuan Bola Sepak Filipina (PFF), lima pemain tersebut ialah Kevin Ray Mendoza, Patrick Reichelt (Kuala Lumpur City FC), Kevin Ingreso (Sri Pahang FC), Jose Elmer Porteira (Kelantan United FC) dan Manuel Ott (Kedah Darul Aman FC).
Selain lima pemain ini, terdapat juga beberapa bekas pemain yang pernah mewarnai kancah Liga Super turut sama dipanggil seperti Julian Schwarzer, Justin Baas, Bienvenido Maranon dan Joshua Jake Grommen yang merupakan bekas pemain Kuching City FC, Melaka United FC, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Petaling Jaya City FC masing-masing.
View this post on Instagram
Pada masa yang sama, skuad berjulukan Azkals ini turut diperkuatkan dengan beberapa pemain yang berpangkalan di eropah seperti Neil Etheridge (Birmingham City), Miguel Reyes (Greuther Furth II) dan Santiago Rublico (Atletico Madrid).
Untuk makluman, Filipina bimbingan Michael Weiss dijadualkan bertemu Bahrain yang kini menghuni ranking ke-86 dunia di Manama pada 17 Oktober kelak – satu-satunya pasukan yang akan dihadapi mereka pada Jendela FIFA kali ini.
Dimaklumkan, perlawanan ini merupakan sebahagian daripada persiapan mereka untuk menghadapi kelayakan bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang akan bermula pada November kelak.
Pada bulan tersebut, mereka dijadualkan berhadapan Vietnam serta Indonesia/Brunei pada 16 dan 21 November masing-masing.
Untuk makluman semua, Filipina kini berada di ranking ke-132 dunia dengan pungutan mata 1099.29 sementara Malaysia di tangga ke-134 dunia dengan mengumpul 1094.90 mata.
Featured Image: Kedah Darul Aman FC