Sukan Asia: Tiada Kilauan Pingat Buat Lee Zii Jia
October 5, 2023 Hafizuddin Omar

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terpaksa akur pulang dengan tangan kosong tanpa sebarang kilauan pingat daripada temasya Sukan Asia 2022.

Ini selepas pemain berusia 25 tahun ini mengalami kekalahan di tangan pemain India merangkap juara Malaysia Masters 2023, Prannoy Haseena Sunil Kumar pada peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung sengit di Gimnasium Binjiang itu mengambil masa hampir 80 minit permainan sebelum dapat menentukan pemenangnya.  

Prannoy yang berusia 31 tahun memulakan pertarungan dengan berhasil memenangi set pertama menerusi skor 16-21. 

Namun begitu, Zii Jia berjaya memberikan tentangan sengit dan mengejar sehingga dapat memenangi set kedua 23-21 sekaligus mengheret pertarungan ke set penentuan.

Pada set berikutnya, permainan terus berlangsung sengit walaupun ada ketikanya Prannoy dilihat amat keletihan. Akan tetapi, ketabahannya mengutip satu demi satu mata sehingga berjaya menutup set ketiga dengan kemenangan menerusi skor 22-20.

Hasil keputusan ini juga menjadikan Zii Jia telah tumpas sebanyak dua kali daripada tiga pertemuan ketika bertemu Prannoy di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Prannoy yang melangkah ke peringkat separuh akhir akan bertemu samada perseorangan Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting atau pemain tuan rumah, Li Shi Feng untuk merebut tiket ke perlawanan akhir.

Pada masa yang sama, kemaraan ke peringkat separuh akhir ini sudah menjamin Prannoy membawa pulang sekurang-kurangnya kilauan pingat gangsa buat kontinjen negaranya daripada  temasya Sukan Asia kali ini.

Terdahulu, Zii Jia yang turut menganggotai skuad lelaki dalam acara badminton berpasukan di temasya ini turut sama tidak membutirkan sebarang kilauan pingat apabila Malaysia tumpas seawal Pusingan 16 di tangan skuad Republik Korea.  

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen